Mar 31, 2015

MENDALAMI FALSAFAH HAD DAN HUDUD YANG HAK

Isu pelaksanaan hudud tampil dengan pelbagai persoalan dan kemungkinan. Ramai sekali yang menyokong namun masih ramai yang menghentam dan membantah. Seharusnya sokongan itu dinampakkan dengan ILMU bukan berbentuk taklid dan ketaksuban membuta tuli (QS:17/36)
Yang menentang juga harus berhujjah dengan ilmu, bukannya bersifat asobiyah dan dengan nada mengejek atau mencerca. Ungkapan seperti sup tangan, nanti tak cukup batu untuk buat jalan sebab habis diguna untuk merejam atau hudud tidak adil kepada wanita dan orang bukan Islam hanyalah alasan untuk mencipta keraguan buat memenuhi hasrat menolak hudud.
Penolakan dan cercaan terhadap hudud bukan sahaja oleh bukan Islam, malah oleh sebahagian individu Muslim juga. Itu amat mendukacitakan. Ada yang mengatakannya kolot, bersifat barbaric, tidak adil, tidak sesuai untuk masyarakat berbilang kaum dan agama, zalim dan sebagainya.
Lebih malang apabila ada cendiakawan, tokoh agama dan pemimpin negara sendiri yang mengatakannya. Telahan ini hanya menampakkan bahawa kita amat jahil tentang hududullah yang sebenar/hak. Ada yang memperlekeh hudud PAS tetapi tidak pula sudi menunjukkan hududullah yang sebenar.
Rasulullah SAW berjaya melaksanakan Hudud sebelum alQuran turun sepenuhnya, iaitu selepas Piagam Madinah dimeterai (Tahun pertama Hijrah, 622M). Penduduk mukmin adalah minoriti, hanya 5% dari 10,000 penduduk Madinah. Ekonomi belum stabil. Masyarakatnya bertelagah dan jauh lebih majmuk dari kita (Quraisy Muhajirin, Bani Auf, al-Harith, Saidah, Jusyaim, al-Najjar, Amru, al-Nabiet, Aus, Tha’alabah, Jafnah, dan Shutaibah).
Non-Muslim sampai sanggup bayar jizyah untuk menikmati hudud yang baginda laksanakan. Apakah rahsianya?
APA YANG KITA FAHAM DAN MAKSUDKAN DENGAN HUDUD?
Hudud melibatkan HAD/BATAS. Ia difahami umum sebagai perundangan JENAYAH SYARIAH dalam Islam. Kita lupa bahawa ada satu nilai dan matlamat pada hudud itu sendiri. Jika ia hanya dikira sebagai satu bentuk perundangan secara melulu, maka ia hanya akan dilihat zalim oleh manusia dari segi etika pelaksanaannya.
Jika hudud kita maksudkan sebagai nilai pendidikan dan matlamat mencegah dalam falsafah syariah pula, maka kita merujuk kepada suatu keadilan melalui pendekatan pendidikan dalam mengatur manusia dengan peraturan itu.
Sekiranya kita membaca HUDUD (HAD) sebagai hukum jenayah semata-mata, memanglah kita tidak akan temui dalil dari sumber kitab yang dapat membantu menyelesaikan masalah ummat. Tetapi jika Hudud dibaca dalam kerangka membentuk nilai dan etika kehidupan manusia, maka ia amat luas sekali.
Itulah nilai PENDIDIKAN dan PELAKSANAAN yang berkaitan dengan HAD, SEKATAN, PENCEGAHAN dan PEMBENDUNGAN.
Dengan menitikberatkan pencegahan melalui pendidikan, maka seluruh aturan yang ternukil dalam al-quran dan sunnah adalah merupakan hududullah bagi kita. Dalam bahasa syariah, PENDIDIKAN HUDUD dijadikan sebagai pemeliharaan jiwa, minda, intelek, keturunan dan hartabenda. Secara langsung ia juga memelihara kebajikan SELURUH umat manusia, samada Islam atau bukan Islam.
HUDUD DARI SUDUT METAFORA AL-QURAN
Sesungguhnya Allah suka menggunakan metafora dalam menyampaikan wahyuNya. Maka wajib kita fahami bahawa bahasa al-quran itu sangat halus dan berseni dalam mendidik manusia. Tanpa seni pemahaman yang halus untuk membezakan mutasyabihat dan muhkamat, manusia tidak akan mampu mencerap apa sebenarnya maksud tersirat Allah pada ayat mithal /mutasyabihatnya.
Jika kita hanya merujuk kepada harfiahnya sahaja dalam mentadabbur al-quran yang tersurat, tanpa memahami maksud tersirat dari Allah, ia bakal memberikan impak negetif yang dramatik dan destruktif. Akibatnya Islam dipandang zalim dan difitnah. Perhatikan beberapa contoh di bawah,
QS:2/54 dan QS:4/66: Allah kata: “Bunuhlah dirimu..”.
Maksud tersirat ialah agar kita bunuh sikap lama, iaitu keegoan dan kedegilan diri kita terhadap Allah. Tanpa memahami bahasa code/tersirat ayat mutasyabihat begini maka boleh sahaja pembaca alquran yang jumud berusaha membunuh diri. Kononnya itu dibaca sebagai jihad akbar. Maka ramailah yang ikut menjadi pengebom berani mati untuk syahid kononnya. Walhal Islam mengharamkan BUNUH DIRI. Mempercepatkan mati bagi mujahid yang tenat tercedera pun sudah dikira bunuh diri dan terbatal syahidnya.
QS: 29/45: “SESUNGGUHNYA SOLAT ITU MENCEGAH KEJI DAN MUNGKAR” - Disiplin solat itu sendiri berunsur MENCEGAH sebagai dasar kepada pendidikan HUDUD.
QS: 17/32, “JANGAN DEKATI ZINA” – Ini juga dasar pendidikan yang meletakkan HAD dan SEMPADAN di dalam peraturan HUDUD yang sebenar. Bukannya anak sudah berzina, sudah buang bayi, sempadannya sudah dilanggar baru hendak dikenakan HUKUMAN HAD! Bila batas sempadannya sudah disondol oleh nafsu baru kita mahu laksanakan HAD tentu aneh bukan?
Di Mina (Jamrah), kita merejam syaitan dengan batu. Begitu juga takrifan rejam penzina sampai mati. Sebelum hukuman itu dijatuhkan, usaha mencegah melalui proses pendidikan dan penguatkuasaan harus dilakukan bersungguh-sungguh. Hapuskan segala punca zina seperti aktiviti hiburan liar, halang pergaulan bebas, bersekedudukan, pakaian yang menjolok mata dan sebagainya.
Itulah MEREJAM (dengan pendidikan/batu penimbang yang adil) segala gejala dan anasir (REGIM SYAITAN) yang menggalakkan perzinaan sampai mati, sampai hilang selera untuk berzina. Itulah proses pencegahan yang murni dan berkesan dalam Islam.
QS: 8/12: Allah kata “.. penggal/pukullah tiap-tiap HUJUNG JARI mereka”.
QS:12/31: “Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum padanya, dan mereka MEMOTONG jari/tangan mereka dan berkata: Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia."
Mana mungkin ada yang mampu memotong tangan sendiri tanpa sedar sekalipun sedang melihat satu kesempurnaan? Maksud tersirat memotong jari di situ ialah berhenti berkarya untuk menyerahkan KUASA / TUGASAN kepada seorang lain tatkala menyaksikan kehebatannya menjalankan tugas dengan bijaksana dan amat sempurna. Demikian juga contoh penyerahan kuasa Puteri Balqis kepada Nabi Sulaiman a.s.
Dalam isu hudud, jika “tangan” itu diambil pada maksud metaforanya, maka ia membawa maksud “KUASA”, “PEMIKUL AMANAH”, “KAKITANGAN”. (QS:48/10)
Apabila “potong tangan” hanya difahami secara harfiah (tersurat), maka tangan pencuri yang akan dipotong sampai terputus untuk menghalang tangan itu daripada terus melakukan perbuatan mencuri. Hukuman itu dikatakan akan menakutkan orang lain bagi menghalang tabiat mencuri.
Sebenarnya hukuman “potong tangan” secara mutasyabihat (tersirat) turut membawa maksud ”CEGAH”, “KEKANG”, “BENDUNG”, “BUANG”, "MEMUTUSKAN", “PERLUCUTAN KUASA” atau “PEMECATAN” dari menjalankan amanah, urusan, kerja, jawatan atau kepimpinan.
Pemegang amanah yang MENCURI akan dipotong kuasanya dan diadili secara takzir jenayah yang telah dilakukannya. Ini bagi menghalang salahguna kuasa, khianat dan perbuatan yang boleh merosakkan kesejahteraan masyarakat dan negara.
MENCURI dari segi mutasyabihatnya juga turut meliputi perbuatan “RASUAH”, “PECAH AMANAH”, “PONTENG", "CURI TULANG”, “PEMALAS” dan sebagainya. Kerana itu Nabi SAW katakan antara perbuatan paling keji dan jahat ialah MENCURI DALAM SOLAT (tidak ruku’ dan sujud dengan sempurna). Itulah hamba yang tidak patuh dan tidak melaksanakan amanah/tugasnya dengan sempurna.
Apabila pemimpin dan majikan sudah cukup amanah dan bertanggunajawab, maka pekerja dan rakyat pasti akan terbela. Kutipan dan agihan zakat kepada asnaf juga akan lebih berkesan. Tidak mungkin ada lagi yang lapar dan mencuri.
Kerana itu di zaman Rasulullah dan khulafa’ Ar-Rasyidin, pencuri lebih ramai yang dibela daripada yang dipotong tangannya. Jika ada umat yang sampai terpaksa mencuri untuk hidup, maka majikan dan penguasa, bahkan jiran juga akan dihukum jika membiarkan umat kelaparan sampai terpaksa mencuri.
Nah, jika dengan keadilan dan tarbiah sejauh ini pun masih ada yang mencuri lagi, barulah WAJAR DIPOTONG TANGAN nya secara muhkamat. Kerana itu sejak zaman dahulu sampai sekarang tidak sampai 10 tangan pun yang dipotong oleh hudud kerana sabit mencuri (berbanding ribuan atau jutaaan tangan bahkan leher yang terpotong oleh penjenayah).
Kita harus faham dengan jelas di mana perintah yang membawa makna PENCEGAHAN melalui pendidikan supaya kita mampu bertindak adil melalui pelaksanaan hukuman secara QISAS, TAKZIR dan DIYAT. Contohnya tangan hanya dipotong setelah didapati kewajarannya berdasarkan bukti-bukti yang nyata dan kukuh, ditimbang-tara dengan asbab mencuri dan kerosakan yang telah dibuktikan.
Untuk memahamkan semula masyarakat di zaman jahiliyah moden ini adalah sesuatu yang mencabar. Banyak kefahaman lazim dari nenek moyang yang belum menerima penjelasan tersirat dari ayat mutasyabihat itu harus difahamkan semula kerana ia sudah lama TERHAKIS dari kefahaman umat ini.
KESIMPULAN
Dalam Piagam Madinah hudud tidak disebut pun sebagai satu enakmen jenayah. Maka, selagi konsep dan pelaksanaan hudud itu sendiri tidak difahami dengan jelas motif dan nilai pelaksanaannya, selama itulah ianya akan menjadi bahan polemik yang tidak berkesudahan.
Adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sekiranya pencegahan melalui pendidikan dan penguatkuasaan telah awal-awal diterap dan dilaksanakan, amaran dan peringatan telah disampaikan, barulah wajar dijatuhkan hukuman. Itupun setelah disiasat dan diadili seadil-adilnya, bukannya terus dihukum.
Bagi penzina, sebelum berlakunya zina, didik dahulu supaya aurat dan tatacara pemakaian terpelihara. Skirts, seluar dan baju ketat harus diharamkan. Hentikan segala unsur yang boleh mengundang zina, rogol dan jenayah terhadap wanita.
Jika sistem Islam berjaya dipenuhi secara kaffah, dana zakat terurus dengan baik, pemimpin beramanah dan hududullah yang hak dilaksanakan dengan sempurna, maka tidak mustahil kita boleh mencapai tahap jenayah sifar. Ini telah berlaku pada zaman pemerintahan Abasiyah. Penjara besar tapi kosong tanpa banduan. Sebenarnya apa yang kami kongsikan ini telah pun kami laksana pada komuniti RPWP sejak 10 tahun dahulu dengan berkesan.
Rata-rata dapat kita baca komen bahawa antara yang menjadikan rakyat prejudis sekarang ialah integriti pemimpin dan jentera pelaksana itu sendiri. Kerana itu hudud yang hak akan mengutamakan usaha mendisiplinkan pemimpin dan pelaksana terlebih dahulu. Hanya satu hudud untuk semua. Tiada istilah “2 set undang-undang” dalam Islam; satu set untuk rakyat biasa dan satu untuk golongan bangsawan.
Ketirisan dana dan jenayah harta antara sebab kejatuhan ekonomi. Kerana itu Hudud Rasulullah SAW berjaya membangun ekonomi. Justeru alasan ekonomi tidak stabil tidak boleh dijadikan hujjah untuk menangguhkan hudud.
Ini hanyalah satu cetusan pembuka minda agar semua pihak berhenti menghujat dan mencerca hududullah yang maha adil dan sempurna. Jika kita faham di mana rahsia keindahan hudud yang sebenarnya, maka mekanisma perlaksanaan selanjutnya mudah dirangka. Kita tidak perlukan kelulusan parlimen pun untuk melaksanakannya.
InsyaAllah ada izin Allah, akan kami cuba lakarkan serba sedikit mekanisma perlaksanaan hudud yang sebenarnya buat menyuntik semangat dan keyakinan kepada masyarakat dan para pelaksana.

No comments: