Nov 15, 2009

Nabi Saleh dicabar kemuka mukjizat

KISAH RASUL: Nabi Saleh dicabar kemuka mukjizat


"DAN, demi sesungguhnya, Kami mengutuskan kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Saleh, (dengan berkata) sembahlah kamu akan Allah! Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah." (Al-Quran, surah an-Naml:45)


Nabi Saleh a.s diutuskan Allah kepada kaum Thamud, satu kaum yang dinasabkan kepada Tsamud bin Amir berasal daripada keturunan Sam bin Nuh.

Mereka tinggal di Hijr di kawasan antara Hijaz dan Syam.

"Dan, demi sesungguhnya, penduduk Al-Hijr mendustakan rasul-rasul. Dan, Kami berikan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami, tetapi mereka terus juga berpaling." (Al-Quran, surah al-Hijr: 80-81)

Sesetengah pihak berpendapat mereka adalah saki-baki kaum Aad dan yang lain mendakwa peninggalan kaum Amalik.

Kaum Tsamud kufur terhadap Allah, mereka menjadikan patung berhala sebagai tuhan yang disembah, bukannya Allah.

Bagi mengingatkan mereka mengenai kesilapan itu dan mensyukuri nikmat diberikan, sekali gus membawa mereka keluar dari kesesatan yang nyata, Allah mengutuskan Nabi Saleh.

Nabi Saleh meminta mereka bertakwa kepada Allah, menasihati mereka supaya tidak menyembah patung berhala kerana ia perbuatan terkutuk dan menyekutukan Allah.

Mereka berdegil dan membelakangkan Nabi Saleh. Mereka terus dengan perbuatan menyesatkan itu sedangkan kesenangan mereka nikmati dengan limpahan harta, kebun dan tanah yang subur, semuanya datang daripada kurniaan Allah.

Disebabkan dikelilingi keselesaan dan kesenangan, mereka menjadi alpa. Mereka lupa semua kurniaan Allah, lupa untuk bersyukur dan lupa untuk beribadat kepada Tuhan yang satu.

Jenuh Nabi Saleh menasihati mereka, tetapi tidak dipedulikan. Akhirnya, mereka meminta Nabi Saleh mengemukakan satu mukjizat bagi membuktikan kebenaran dakwah yang dibawa baginda.

Lalu didatangkan kepada mereka mukjizat agung iaitu seekor unta betina yang bunting keluar dari batu. Mereka melihat dengan mata masing-masing kejadian itu, batu terbelah dan keluar seekor unta betina yang bunting.

Siapa yang tidak terkejut dengan kejadian itu! Tetapi segelintir saja di kalangan mereka mempercayai Nabi Saleh, manakala yang lain tetap dengan kekufuran.

Malah, mereka mengganggu unta itu sedangkan Nabi Saleh terlebih dulu menasihatkan mereka supaya tidak mengapa-apakannya sekiranya tidak mahu terkena seksaan Allah.

Nasihat Nabi Saleh tidak dipatuhi. Mata hati mereka buta, tidak mengenal antara nasihat kebaikan dan ancaman bahaya. Mereka menyangka diri mereka lebih hebat dari segalanya.

Justeru, mereka mengambil sikap lebih melampau, menyembelih unta betina bunting itu dengan cara yang sungguh angkuh terhadap perintah Allah.

Mereka mencabar Nabi Saleh: "Hai Saleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan kepada kami, jika benar kamu termasuk orang-orang yang diutuskan (Allah)."

Orang pertama menyerbu unta berkenaan dan menyembelihnya dikatakan Qudar bin Salaf.

Kemudian unta itu disembelih dengan pedang, membabitkan sembilan orang lelaki di kalangan kaum terbabit.

Keinginan mereka tidak pernah puas kerana selepas membunuh unta berkenaan mereka mahu membunuh Nabi Saleh pula.

Nabi Saleh memberikan amaran kepada mereka, dengan berkata: "Bersukarialah kamu sekalian di rumah kamu selama tiga hari. Janji itu tidak didustakan."

Janji Allah tidak pernah dimungkiri. Setiap yang dijanjikan-Nya dikotakan, mengikut kehendak-Nya.

Akibatnya, mereka yang ingin membunuh Nabi Saleh diazabkan dengan batu dari langit, diikuti kaum berkenaan yang melakukan kejahatan.

Diceritakan ahli tafsir, pada hari pertama, wajah mereka menjadi kuning, hari kedua menjadi merah, manakala hari ketiga menjadi hitam.

Pada hari ketiga iaitu hari terakhir dengan terbit matahari, dari langit datang teriakan kepada mereka manakala di bawah mereka bergoncang dengan kuat.

Kejadian itu membuatkan mereka ketakutan dan berteriak meminta tolong.

Tetapi ia sudah terlambat. Mereka ditimpakan azab yang mengerikan, pertamanya petir, kemudian suara kuat dari langit sehingga menjadikan mereka seperti rumput kering dimiliki pemilik ladang ternak dan gempa bumi, menjadikan mereka bergelimpangan di sana sini.

Nabi Saleh dan orang beriman dengannya terselamat daripada azab terbabit.

Al-Alusi menceritakan orang yang selamat bersama Nabi Saleh seramai 120 orang, manakala mereka yang binasa 5,000 orang. Baginda wafat di Nawahiyir Rimlah di Palestin.

No comments: