Nov 5, 2009

Tolak ansur untuk disayangi

MEMANG tidak adil jika kita hanya meminta lelaki atau suami yang menanggung semua keperluan dalam sesebuah hubungan mahupun rumah tangga.

Sesekali apa salahnya wanita pula mengambil alih tanggungjawab itu, tetapi janganlah sampai wanita menjadi pengendali dalam bahtera hubungan itu.

Keadaan berat sebelah akan menyebabkan perjalanan rumah tangga tidak berjalan lancar. Oleh itu, prinsip memberi dan menerima perlu betul-betul diterapkan supaya ia berpanjangan kerana institusi perkahwinan yang dibina bukan untuk sehari dua.

Bagi lelaki, asalkan isteri atau kekasih senang, mereka sanggup lakukan apa saja. Sebaliknya, sebagai isteri atau pasangan yang setia, anda juga perlu melakukan sesuatu yang bermakna.

Bagi pasangan yang sedang bercinta atau baru saja mendirikan rumah tangga, cinta bukan saja mengajar seseorang erti kebahagiaan dan kematangan, tetapi boleh mendorong ke arah perilaku yang baik di sisi agama.

Pelbagai elemen yang mampu membuatkan cinta berkekalan dan disudahi dengan ikatan perkahwinan jika ia diamalkan dalam kehidupan harian.

Dalam sesebuah perkahwinan pula, bukan limpahan wang ringgit atau material semata-mata menjadi kayu ukur dalam menentukan kebahagiaan berdua.

Sebaliknya, perhatian, kasih sayang, sikap prihatin serta saling bertolak ansur menjadi galang gantinya. Untuk itu, cuba beberapa petua berikut bagi mengekalkan kelangsungan perhubungan yang panjang:

  • Luangkan waktu menyapa suami ketika anda atau dia mahu ke pejabat atau hubunginya melalui telefon di pejabat.
    Katakan anda merinduinya sepanjang hari itu. Ciuman kasih juga boleh diberikan kepada suami sebelum dia melangkah ke tempat kerja.

  • Pastikan anda dan pasangan 'sesuai dan serasi' dari segi emosi, fizikal dan seksual. Tidak rugi untuk mengalah asal ia boleh mengubah situasi kepada sesuatu yang lebih baik

  • Memahami kepentingan dan keperluan pasangan walaupun sekadar hobi biasa. Galakkan supaya dia berasa bahawa anda terlalu memahami jiwanya.

  • Sedia dan saling bermaaf-maafan walaupun untuk perkara yang kecil atau tidak penting. Tidak memanjangkan perbalahan, dalam erti kata lain anda perlu beralah untuk kebaikan

  • Tidak perlu menunggu hari ulang tahunnya untuk memberikan hadiah. Buatkan kejutan berupa hadiah kecil seperti aksesori kereta, tali leher atau cakera padat penyanyi atau kumpulan penyanyi kegemarannya.

  • Saling berkongsi impian dan sama-sama membuat tugas di rumah. Sekurang-kurangnya, dapat berkongsi susah senang sambil melayani dia berbual dan bertanya khabar mengenai hal semasa.

  • Tidak mudah kecewa atau menyerah kalah meskipun terpaksa menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran. Ketabahan anda memberi gambaran bahawa andalah yang memberinya kekuatan selama ini.

  • Sentiasa mencari kebaikan pasangan. Pujian adalah cara terbaik kerana semua orang suka dipuji.

  • Tahu meletakkan hak dan tanggung jawabnya. Anda membahagikan tugas untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap pasangan dan juga anak-anak sebagai lambang kasih sayang.

  • Berterus terang tanpa mengira konflik itu besar atau kecil. Sekiranya salah seorang melakukan pembohongan ia pastinya akan mengundang musibah.

  • Berusaha memperbaiki tahap kebahagiaan dalam rumah tangga. Ini kerana kebahagiaan itu terletak kepada cara anda mengendalikan atau mengemudikan bahtera demi kebaikan anda berdua.

  • Tidak berdendam dan penuh dengan kejujuran. Bahkan, sentiasa memanja dan dimanjakan pasangan.

  • Ungkapkan rasa cinta anda dengan pelbagai cara unik. Misalnya, kirimkan pesanan cinta singkat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit atau menghantarnya e-mel. Selitkan pesanan penuh kebahagiaan supaya dia turut merasakan getar cinta anda itu.

  • Sesekali, buat janji temu untuk makan tengah hari bersamanya secara spontan. Ajak dia ke restoran tempat pertama kali anda makan berdua dulu.

  • Biarkan dia membantu pekerjaan anda. Jangan lupa ucapkan terima kasih setelah itu, pujilah usahanya membantu sebagai tanda anda amat menghargai perhatian dan kasih sayangnya itu.

  • Sesekali ajak dia menonton wayang dengan membiarkan dia menentukan filem apa yang mahu ditonton. Memberi pujian dengan mengatakan bahawa dia pun sehebat hero dalam filem itu selain menyebut kebaikannya yang membuatkan rasa kasih anda sentiasa tertumpah buatnya.

  • Jika dia merancang mahu menonton siaran langsung sukan kegemarannya, berikan sedikit perhatian kepadanya. Walaupun tidak sanggup menemaninya hingga ke pagi, memadai sediakan secawan kopi buat dia menghilangkan rasa mengantuk.

  • Menyanyilah bersamanya biarpun suaranya terdengar agak sumbang jika ada sesuatu yang anda berdua raikan dengan penuh gembira dan kasih sayang.
  • No comments: