“DAN kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Hud. Ia berkata: ‘Wahai kaum-Ku! Sembahlah kamu akan Allah, Tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya?’” (Al-Quran, surah al-A’raaf:65)
Nabi Hud a.s (Inggeris, Eber) seorang daripada nabi dan rasul yang wajib dipercayai.
Ceritanya diterangkan dalam al-Quran dengan tujuan memberi petunjuk dan pengajaran kepada manusia. Nama penuh baginda ialah Huud bin Abdullah bin Rabah bin Khulud bin Aad. Keturunannya sampai kepada Sam bin Nuh.
Baginda diutuskan kepada kaum Aad yang berasal dari keturunan Sam bin Nuh melalui nasab Aad bin Uwed bin Arm bin Sam.
“(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Tatkala saudara mereka Nabi Hud, berkata kepada mereka: ‘Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.’” (Al-Quran, surah asy-Syuaraa: 123-124)
Kaum Aad dilaporkan tinggal di Ahqaf iaitu bersebelahan Yaman, dari barat semenanjung Arab di bahagian utara hingga ke Hadramaut di timur Oman.
Tempat itu dikatakan asalnya padang pasir yang tandus, tetapi kemudian bertukar menjadi makmur dan dipenuhi kenikmatan.
Ada pendapat mengatakan kaum Aad terbahagi kepada dua golongan. Aad penduduk Iram golongan pertama.
“Dan sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum Aad dahulu.” (Al-Quran, surah an-Najm:50)
Kaum terbabit mempunyai kelebihan dan kepandaian tersendiri yang tiada tolok bandingnya dengan kaum lain. Hakikat ini dijelaskan dalam surah al-Fajr pada ayat 6-8.
“Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah lakukan terhadap kaum Aad. Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya. Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri.”
Mereka dikurniakan kenikmatan dalam pelbagai lapangan kehidupan. Mereka juga dikurniakan badan yang kuat sehingga boleh mendirikan bangunan yang tinggi lagi besar.
Tetapi disebabkan terlalu banyak kesenangan diperoleh, mereka akhirnya tertewas. Mereka mula lupa Tuhan dan rasul, malah bangunan yang tinggi bersama benteng yang kuat mencerminkan diri mereka yang keras kepala dan sombong.
Mereka dengan angkuh berkata: “Siapakah yang besar kekuatannya daripada kami?”
Penyelewengan dan kezaliman menjadi amalan mereka, malah mereka tanpa rasa bersalah melakukan amalan terbabit secara berterusan seolah-olah menjadi adat dalam kaum mereka.
Sementara perintah Allah dan nasihat rasul langsung tidak diambil peduli. Kenapa? Disebabkan mereka sudah kaya raya, hidup mewah, ada bermacam-macam harta, mempunyai kesihatan dan kepandaian sehingga mereka lupa itu semua kurniaan Ilahi.
“Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong di bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar serta berkata: ‘Siapakah yang lebih kuat dari kami?’ Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) lebih besar kekuatan-Nya dari mereka. Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuasaan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).” (Al-Quran, surah Fussilat: 15)
Kaum terbabit mempunyai patung iaitu Shada, Shamuda dan Hara yang dijadikan tuhan sembahan mereka. Mereka menyangka patung itu dapat memberikan sesuatu kebaikan.
Mereka juga menyangka tuhan patung itu juga dapat memberikan malapetaka kepada Nabi Hud yang selalu menasihati mereka.
Tetapi semua sangkaan mereka itu tidak berasas.
“Mereka berkata: ‘Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami bukti yang nyata dan kami tidak akan meninggalkan sembahan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!
“Kami boleh berkata bahawa setengah dari sembahan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila. Hud menjawab: ‘Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah tentang kebenaranku dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu.’” (Al-Quran, surah Hud:53-55)
Kaum Aad dikatakan adalah golongan pertama yang menyembah patung atau berhala selepas peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s.
Nabi Hud yang tidak berputus asa terus memberikan nasihat dan bersamanya juga peringatan mengenai seksaan yang pedih daripada Allah sekiranya masih berdegil.
Tetapi kerana terlalu bongkak, mereka tidak mendengar sebarang nasihat.
Ketika kaum Aad jauh melampaui batas dan sampai ke kemuncak keingkaran, Allah menurunkan azab ke atas mereka, menghina mereka dengan tiada hujan selama tiga tahun, ujian dan beban yang berat.
“Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang malang kerana Kami hendak merasakan mereka azab yang hina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan.” (Al-Quran, surah Fussilat:16)
Tetapi Nabi Hud dan orang beriman terselamat. Selepas kaum Aad binasa, Nabi Hud tinggal di Hadramaut sehinggalah baginda wafat.
petikan dari metro...http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Hati/20090827091419/Article/index_html
No comments:
Post a Comment