Jan 2, 2011

cuti2 cinta



Tak banyak yang boleh diharapkan daripada filem kedua romantik arahan Ahmad Idham, Cuti-Cuti Cinta (CCC). Masih lagi terikat dengan watak dan lawak stereotype, Cuti-Cuti Cinta mengisahkan cinta antara dua darjat versi moden.

Masih menjadikan watak lelaki lembut sebagai sandaran untuk membuatkan penonton ketawa. Ditambah pula dengan gaya percakapan orang berada seperti Tan Sri yang dilihat berlebih-lebihan. Bagi ManggaOnline (MO) sesetengah babak dalam filem ini sengaja mengadakan adegan lucu yang dilihat sudah basi.

Namun, Idham mempunyai visinya sendiri. Dilihat mampu untuk menarik penonton ke pawagam dengan gandingan segar Farid Kamil dan Nora Danish.

MO mempersoalkan filem Melayu sejak kebelakangan ini dilihat sekadar mencedok isu semasa dan diberikan nafas segar dalam pembikinannya. Sekadar mengusik, MO cuba menyatakan jumlah kutipan tidak menggambarkan kualiti isi kandungan sesebuah filem itu, namun pantas disangkal Idham.

"Kualiti itu subjektif. Macam filem saya sendiri, saya gunakan kamera high definition (HD) untuk mendapatkan kualiti terbaik. Saya sudah arahkan 20 lebih filem dan semuanya hit mencecah kutipan lebih daripada RM2 juta. Kualiti bagaimana yang dimaksudkan? Anda katakan filem saya tiada kualiti, namun kutipan yang dicatat menyatakan sebaliknya.

"Sebenarnya filem yang ringan lebih sukar untuk dibuat berbanding filem berat. Dan kita harus tengok lenggok filem dan permintaan penonton kerana perjalanan industri memang begitu.

"Dan kenapa saya buat watak lelaki lembut pada lakonan Cat Farish dalam CCC kerana saya lihat majoriti yang bekerja di bahagian house keeping memang begitu. Saya hanya kekal imej stereotype yang ada kerana kadang kala kita tak dapat lari daripada klise," ujarnya.

Namun masih ada yang dapat dibanggakan dalam CCC. Sentuhan sinematografi yang menarik dipercayai dapat menarik penonton melihat panorama indah yang dipersembahkan.

Lokasi penggambaran yang menarik juga merupakan satu kelebihan kepada CCC. Filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Cuti Cuti Cinta mengisahkan Eeva Elyana (Nora Danish) anak tunggal Tan Sri Zaini (Zaibo) yang kecewa dipermainkan tunangnya, (Remy) Zed Zaidi. Tersepit dengan masalah yang dihadapi, Eeva mengambil keputusan melarikan diri tanpa arah tujuan. Kekecewaanya itu membawa Eeva ke pusat peranginan di Morib.

Sikap Eeva yang gemar mendatangkan masalah kepada pekerja di hotel menemukannya dengan Omar Rudy (Farid Kamil). Sikap Omar yang melayani karenah Eeva tidak disenangi rakan sekerja yang lain iaitu Maliq (Adeep TFC), Kris Dayana (Wangi TFC) dan Fausrina (Zizie TFC). Sikap jeliknya telah menyebabkan mereka terperangkap di sebuah pulau. Saksikan kesudahan filem ini pada 21 Oktober ini di seluruh pawagam.



No comments: